Wednesday, November 14, 2012

Vanilla Butter Cake

Kek yang disajikan untuk sambutan Aidiladha yang lepas...
 
Masih ku ingat lagi aroma yang semerbak itu, wanginya Vanilla! Pertama kali aku kenal bau harum itu dari dapur emak. Air tangan emak memang sentiasa memikat hati anak-anak hingga kini dan selamanya hatta resepinya cukup mudah.
 
Setiap kali musim perayaan, emak selalu membuat kek mentega vanilla. Mudah dan Sedap! Ketika aku kecil, setiap kali musim perayaan adilfitri dan adiladha, inilah kek yang wajib emak adunkan buat anak-anaknya. Ketika itu, seingat aku belum wujud kek lapis di rumah kami. Aku tidak tahu kenapa: sama ada kek lapis belum wujud resepinya atau emak memang tidak punya cukup bahan untuk mengolahnya. Kek lapis sememangnya memerlukan terlalu banyak bahan-bahan jika dibanding dengan kek mentega vanilla. Lagipun, kehidupan kami ketika itu serba kekurangan dan harus berjimat cermat demi simpanan untuk masa depan.
 
Walau apapun hingga kini, jika ditanya antara kek lapis dan kek mentega vanilla yang mana menjadi pilihan? Jawapannya aku tetap memilih kek mentega vanilla kerana menurut deria rasaku rasanya lebih enak, lebih mudah dan cepat dimasak, yang penting kek ini membawa seribu satu nostalgia yang menerbitkan rindu terhadap kenangan kecil kami sesama adik-beradik.


Ketika mengadun kek ini, tersenyum seorang aku di dapur. Hati tercuit mengenang kisah kanak-kanak kami empat adik- beradik. Kisahnya begini: Emak selalu bersiap sedia membuat kek ini seusai solat tarawih. Siang hari emak enggan membuat sebarang persiapan kek raya kerana khuatir Bang Joy (abang ngah) batal puasa. Sebab Bang Joy sedikit nakal, dan sungguh tak tahan iman melihat adunan kek. Apatahlagi ini pula kek kegemarannya. Dialah paling rajin memukul bahan-bahan kek, sambil itu menjilat jari kalau ada tersisa adunan gula+mentega di jarinya. Itulah alasan utama kenapa emak membuat kek waktu malam selepas tarawih.
 
Walau jarum jam berangka 12 tengah malam, mata kami empat adik-beradik tetap tidak mengantuk kerana tidak sabar menunggu kek itu masak. Ketika itu, rumah kami tidak punya oven. Emak membakar kek menggunakan dapur minyak tanah. Sukar untuk emak menstabilkan suhu dapur. Maka selalunya kek tersebut sedikit berkerak sedikit hitam pada dasar dan tepi kek. Tapi ia tidak terbuang begitu sahaja. Sebab bahagian itu yang kami adik-beradik tunggu. Berebut-rebut mengadap kerak tersebut. Walau rasa sedikit manis dan pahitnya lebih kerana hangus, itu tidak menjadi masalah. Makan beramai-ramai dengan suasana berebut-rebut menyebabkan ia bertukar menjadi sedap!
 
Licin kami berempat kerjakan. Tiada pembaziran! Oleh itu mungkin...kehidupan kami kini penuh keberkatan kerana tiada pembaziran....mungkin...alasan itu diterima akal bagi yang menghargai erti hidup. 

Resepi Oleh: Azmie & Vivie

Apa yang anda perlukan:
  • 180 gram mentega (suhu bilik)
  • 180 gram gula kastor
  • 4 biji telur ayam (Gred A)
  • 180 gram tepung naik sendiri (ayakkan)
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 1/2 cawan susu sejat/susu cair/susu segar
  • secubit garam (campurkan ke dalam tepung naik sendiri)
  • manik gula berwarna (kuantiti terpulang pada kalian, tujuan untuk ditaburkan dalam adunan)
Apa yang anda perlu lakukan:
  1. Panaskan oven pada suhu 180C. Sapukan loyang/acuan kek dengan sedikit sapuan mentega.
  2. Pukul mentega dan gula kastor sehingga kembang.
  3. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan pukul sehingga sebati.
  4. Masukkan esen vanilla, gaulkan.
  5. Masukkan susu sejat diselang-seli bersama bahan kering: tepung naik sendiri dan garam, gaulkan hingga sebati.
  6. Masukkan adunan ke dalam loyang diselang-seli dengan menaburkan manik gula berwarna.
  7. Bakar selama 40 minit (oven kami) atau hingga masak keperang-perangan permukaannya.

4 comments:

Anonymous said...

wah sedap ni Vie, tq share ye!

Mixed-family in da house.... said...

Indah kan kenangan.hari semalam.....

Azmie & Vivie said...

Dear sis K.A:
sama-sama, kak :)

Azmie & Vivie said...

dear kak dinie:
betul3x...rasa ingin vi putar masa kembali ke zaman kanak-kanak yang penuh dengan warna-warni ceria :)