Tuesday, October 23, 2012

Asam Pedas

 "Salah satu rahsia faktor makanan itu sangat sedap, ialah gunakan pisau yang tajam untuk memotong bahan-bahan mentah ketika memasak." Dae Jang Geum~ Jewel in the Palace.

 Kali pertama aku melihat masakan asam pedas ketika usiaku 16 tahun.
Bapa membawa kami ke Johor untuk melawat dua orang abangku yang menetap di sana ketika itu. Pada mulanya, aku tidak tahu itu adalah asam pedas, kerana apa sahaja masakan yang berwarna merah menyala selalu ku labelkan sebagai kari. Al-maklum, ilmu memasak ketika aku di usia belasan tahun adalah kosong. Apatah lagi aura memasak, masih kosong. Yang berangka penuh ketika itu adalah aura makan.
Usia berganjak, syukur aura memasak kian terbit. Walau aku tidak sehebat mana memasak, tapi rasa ingin tahu dan mencuba itu mengatasi rasa kosong dalam ilmu masakan. Kawan rapatku pernah memberitahu, jika ingin masakan asam pedas yang sedap, minta lah resipi dari orang Selatan. Kerana orang Johor & Melaka juara segala juara dalam sajian asam pedas!
Lalu Hujung minggu itu, seusai takbir diri dan solat Subuh, aku menapak ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi dan mengeluarkan bahan mentah untuk masakan asam pedas. Resepi yang ku salin  malam sebelum itu, sungguh membuatku teruja untuk menunggu siang, semua nya gara-gara ingin mencuba. Aku gunakan bahan-bahan yang sedia ada di dapur. Tidak perlu membeli ikan. Kerana ikan liko hasil memancing oleh suamiku akan dijadikan watak utama dalam asam pedas. Menu sampingan pula adalah ikan talapia goreng kunyit, kerang rebus dan kangkung goreng belacan. Rasa suasana nyamannya sajian desa di meja makan kami.  

Inilah hasilnya! Asam pedas ikan liko.
Gara-gara aromanya yang semerbak berlegar di ruang rumah, menyebabkan kami makan tengah hari jam 10 pagi. Sajian yang masih panas memang menyelerakan.
Terima kasih banyak-banyak buat pemilik resepi. Memang sedap!

Resepi asam pedas paling sedap dalam kamus hidup kami.
Izinkan kami panjangkan resepi di sini. 

Disajikan oleh: AZMIE & VIVIE
Sumber rujukan: 1. Mat Gebu
                            2. Nani Rostam (Pemilik asal resipi)



Apa yang anda perlukan:
  • 500 g ikan (Azmie & Vivie guna ikan liko)
  • 1 biji terung
  • 2 biji tomato (setiap biji dibelah kepada 4 bahagian)
  • 20 tangkai cili kering yang siap direbus*
  • 5 biji buah keras*
  • 1/2 inci belacan* (*Bahan A dikisar/ditumbuk halus)
  • 10 biji halba
  • 1 tangkai daun kari (dilurutkan)
  • 2 tangkai daun kesum
  • 1 cawan jus asam jawa
  • air secukupnya
  • garam dan gula (Ikut citarasa anda)
  • 5 biji bawang merah**
  • 3 ulas bawang putih**
  • 1 batang serai** (dihiris)
  • 1 inci kunyit hidup** (**Bahan B dikisar/ditumbuk halus)

Apa yang anda perlu lakukan:
  1. Cuci ikan kemudian perap dengan jus limau kasturi dan sedikit garam selama 15 minit. Cuci kembali hingga bersih dan toskan. Terung dibuang sedikit kulitnya, belah dua dan hiris serong (3 bahagian) untuk setiap belahan. Rendam dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis halba dan daun kari hingga harum. Masukkan bahan kisar/tumbuk **B dan tumis hingga wangi. Tambah bahan kisar/tumbuk *A dan masak hingga garing dan terbit minyak. Guna api sederhana dan kacau selalu.
  3. Tuang jus asam jawa dan tambah air secukupnya. Kacau mendidih sekejap kemudian masukkan daun kesum diikuti ikan. Biarkan ia mendidih. Kemudian masukkan terung (toskan daripada air rendaman). Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula.
  4. Akhir sekali, masukkan belahan tomato, masak sekejap, rasa dan jika OK boleh matikan api.
  5. Hidangkan bersama nasi panas.

6 comments:

Kesuma Angsana said...

sedapnyer Vie!

Azmie & Vivie said...

Dear K.A:
sedap, Kak! resepi nani rostam memang superb! :)

izyantyPersonalTaste said...

nampak sedap sangat nak cuba lah nanti

Azmie & Vivie said...

dear izyantyPersonalTaste:
Selamat mencuba! :0)

I Love Hannah Damia said...

Wooww!!! Terliur... 2 tapak nasi!!!

achika said...

Waduh... Nyaman nya vee... Terliur kmk uhuhu